Posted on

3 Kaedah Rangsang Potensi Diri Anak Pintar

Tingkatkan Kepintaran Anak Dengan 3 Kaedah Rangsang Potensi Diri

potensi2

Pada usia satu hingga dua tahun, pertumbuhan otak si manja berkembang pesat.  Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak, University Malaya Centre for Continuing Education (UMCCED), Dr Surayah Zaidon berpesan agar rangsangan betul dapat dilakukan oleh ibu bapa.
Pada tahap usia awal kanak-kanak iaitu satu hingga dua tahun, otaknya sering diumpamakan sebagai span kerana kebolehannya menyerap setiap apa yang berlaku dalam persekitaran.

Implikasi daripada keadaan ini adalah persekitaran kanak-kanak perlu disediakan dengan terancang agar apa yang diserap dapat membantu perkembangan positif kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak usia sebegini, secara umumnya perkembangan motor, kawalan emosi dan kosa kata sedang berada dalam tempoh kritikal. Seharusnya ketiga-tiga aspek kemahiran ini diberikan input-input yang bersesuaian supaya memori jangka panjang terbentuk.

Percambahan jaringan neuron yang sedang pesat berlaku perlu digunakan sepenuhnya bagi membina otak yang “bijak”.

Perkembangan otak terjadi dan dipengaruhi oleh gen ibu bapa dan rangsangan persekitaran. Kedua-duanya saling kait mengait dan bantu-membantu.

Daripada beberapa kajian, didapati walaupun seseorang mempunyai gen yang baik daripada ibu bapanya, atau mewarisi kepintaran ibu bapanya, sekiranya tiada rangsangan diberikan untuk membantu otaknya untuk berkembang, maka hasilnya tidaklah seperti yang diharapkan.

Kanak-kanak yang tidak diberikan rangsangan biasanya mempunyai otak yang lebih kecil.

1. Belajar melalui sensori

Anak-anak pada tahap usia ini mampu belajar dengan lebih berkesan melalui pancaindera (sensori). Lebih banyak pancaindera yang digunakan dalam pembelajaran, adalah lebih baik kerana ini meningkatkan proses pengekalan.

2. Guna sebanyak mungkin pancaindera

Ibu bapa boleh menyediakan peluang-peluang pembelajaran menggunakan seberapa banyak pancaindera. Contohnya apabila memperkenalkan buah, biarkan dia menyentuh keseluruhan bentuk buah tersebut dengan tangannya (deria sentuh).

 

Biar dia nyatakan bentuk dan warna (deria lihat) dan memakan buah tersebut (deria rasa). Minta dia bau buah itu (deria hidu) dan cuba nyanyikan lagu berkaitan buah itu (deria mendengar). Dengan cara ini, anak tersebut akan mendapat lebih maklumat mengenai buah tersebut dan lebih mudah disimpan dalam memori jangka panjang.

3. Pemakanan untuk otak

Pemakanan adalah juga sebahagian daripada rangsangan persekitaran yang patut diberikan perhatian. Kanak-kanak memerlukan pemakanan yang boleh membantu kecekapan otak.

Sumber yang terbaik adalah susu ibu kerana ia mengandungi segala zat makanan. Karbohidrat, protein dan lemak; logam serta vitamin yang diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak.

Seterusnya apabila mencecah usia enam bulan, di samping susu ibu, bayi perlu tambahan zat besi untuk pembentukan sel-sel darah merah yang membekalkan oksigen kepada otak. Otak mampu berfungsi dengan lebih baik apabila mempunyai oksigen yang mencukupi.
sumber http://www.majalahpama.my/kanak-kanak/tingkatkan-kepintaran-anak-dengan-3-kaedah-rangsang-potensi-diri-1.501862

Leave a Reply
0

Your Cart